Monday, June 15, 2009

TIPS : Teknik menulis teks pengacara

Seorang pengacara perlu mempunyai kemahiran menulis teks pengacara. Memang tidak dapat dinafikan bahawa teks pengacara majlis formal sebenarnya bukan ditulis oleh pengacara tetapi setiausaha sesuatu program. Namun begitu, hal ini tidak bermakna pengacara majlis tidak perlu menulis teks. Adakalanya pihak penganjur atau tuan rumah menyerahkan tugas tersebut kepada pengacara majlis.
Selain itu, majlis seperti majlis perkahwinan, jamuan makan malam, jamuan perpisahan dan majlis amal selalunya memerlukan pengacara majlis menulis teks sendiri. Walaupun teks ini tidak dibaca sepenuhnya, sebagai seorang pengacara majlis, anda harus menyediakan teks sebagai garis panduan dalam mengendalikan sesuatu majlis agar tidak berlaku kepincangan dalam majlis tersebut.
2.1 Teknik Menulis Teks Pengacara
Sebenarnya, dalam menulis apa-apa juga bahan sama ada teks, surat atau kertas kerja, anda perlu mengetahui tekniknya terlebih dahulu agar dapat memudahkan anda menulisnya. Oleh itu, di sini diterangkan serba ringkas teknik penulisan teks pengacara majlis sebagai panduan terutama kepada bakal pengacara majlis dan mereka yang berminat dalam bidang pengacaraan majlis.
2.1.1 Penyediaan Teks
Sebelum menyediakan teks pengacara majlis, anda terlebih dahulu perlu mengetahui nama majlis tersebut, tujuan majlis, dan atur cara sesuatu malis dengan lengkap. Pastikan juga anda mendapat senarai nama jemputan terkini terutama tamu kehormat dan penaja acara jika ada. Setelah itu, baru anda boleh merancang teks anda agar bersesuaian dengan majlis.
2.1.2 Cara Menyediakan Teks Dan Kandungan Teks

Teks pengacara majlis perlu disediakan dalam saiz setengah kertas A4 dan ditulis dalam tiga ruangan, iaitu masa, panduan (CUE) dan pengumuman (ANN) seperti:

Masa

CUE

ANN 1

Ruangan masa, diperuntukkan untuk mencatat jangka masa sesuatu acara. Manakala ruangan ‘cue’ pula merupakan ruangan untuk mencatat panduan bagi sesuatu pengumuman. Dengan kata lain, ‘cue’ ini merupakan penanda aras bagi menentukan sesuatu pengumuman itu dibuat. Ruangan ‘announcement’ pula ialah ruangan yang perlu dibaca oleh pengacara majlis. Ruangan inilah yang mencatatkan setiap perkara yang perlu diumumkan oleh pengacara majlis.

Yang berikut merupakan contoh penyediaan teks pengacara majlis:

Masa

CUE

ANN 1

8.30 pagi

Apabila isyarat, iaitu YAB Timbalan Perdana Menteri masuk ke dalam dewan dengan diiring oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah… dan Pengarah

Mengumumkan ketibaan Yang Amat Berhormat …............ . dengan diiringi oleh Yang Berbahagia ............ dan Yang Berusaha ............ . masuk ke dewan dan seterusnya mengambil tempat di atas pentas.

Perlu diingatkan di sini bahawa setiap muka surat diperuntukkan untuk satu pengumuman sahaja. Hal ini penting agar jika terdapat perubahan pada saat akhir berkaitan perjalanan atur cara, maka perkara ini memudahkan pengacara menyusun semula teks mengikut atur cara tanpa perlu membuat contengan yang akan mengelirukan. Teks yang telah lengkap perlu diklip untuk diselak ke atas atau ke kanan.

Artikel di atas dipetik daripada Bahagian 2: Teknik Penulisan dalam buku Aneka Contoh Teks Pengacara Majlis. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di www.books.perintis. com.my.

No comments:

Followers

Related Posts with Thumbnails