Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang
Salam,
Baru-baru ini ada perbincangan tentang bagaimana hendak khusyuk semasa mendirikan sembahyang di grup SIM, dimulakan oleh cik NoorAzlin.Untong@ ing.com.my. Saya kurang mengikuti perbincangan kerana agak sibuk dengan tugasan bulanan. Hari ini saya terjumpa draft entry yang mengandungi tips berkaitan untuk khusyuk semasa sembahyang. Saya kurang pasti daripada mana sumber tips-tips ini, wagaimanapun saya harap tips-tips yang disenaraikan dapat memberi walau sedikit manafaat kepada pembaca. Jazakallahu khairan kepada penulis asal.
Alahai... memang betul, perbincangan tidak mendapat sambutan sebagaimana perbincangan tentang politik. Sembahyang tiang agama.... Tiada sambutan mungkin bermakna ahli-ahli SIM solatnya berkualiti tinggi atau mungkin saja tidak solat, jadi tiada yang mahu berkongsi? Jangan marah... ini memang provokasi sebab solat itu WAJIB! Atau mungkin saja ramai yang sibuk membaca surah al-kahfi pada pagi Jumaat, jadi tak berkesempatan membalas email. Apa-apapun kita cuba bersangka baik sesama saudara seagama, ya. Maafkan saya, jika ada yang terasa...
Rasa-rasa saya, perkara paling penting kita kena ambil tahu makna bacaan dalam bahasa Arab, baru boleh khusyuk. Kadang-kadang kita main baca saja, sebab dah hafal. Tanpa pemahaman, macamana nak khusyuk? Banyak lagi tips untuk mendapatkan khusyuk, boleh rujuk senarai di bawah.
Tips-tipsnya seperti berikut :
- Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran
- Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
- Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita
- Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang
- Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin
- Mempastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang
- Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih
- Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut
- Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir
- Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu
- Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat
- Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu
- Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya
- Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya
- Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih
Renung-renungkan dan selamat beramal!
No comments:
Post a Comment