Thursday, March 17, 2011

TIPS : Dilema melayari rumahtangga bersama duda

Jodohku bekas suami orang!


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Cinta itu buta, tidak kira usia mahupun status. Biarpun ramai gadis membayangkan bertemu jodoh dengan pasangan seusia, tetapi bukan hak kita untuk menentukannya. Segala-galanya ditentukan yang Maha Kuasa. Biar bujang teruna jadi pilihan, namun siapa tahu, rupa-rupanya jodoh anda dengan duda atau bekas suami orang.

Apapun jika itu ketentuan-Nya, terimalah dengan hati terbuka dan pelajarilah bagaimana cara berhadapan dengan lelaki berstatus duda ini. Mungkin tiada banyak masalah jika suami, duda tanpa anak. Tetapi situasi yang berbeza jika si duda yang jadi pilihan anda punya anak yang dipeliharanya sendiri. Ði sinilah kebijaksanaan, kesabaran dan kematangan diperlukan.

Laman-Seri kali ini memberikan sedikit sebanyak tips bagi wanita yang mungkin dalam dilema melayari alam rumahtangga bersama pasangan hidup yang bergelar duda.

1 – Bersedia atau tidak

Inilah pokok persoalan utama yang harus anda hadapi. Ia bukan berkaitan dengan tentangan yang mungkin bakal anda hadapi dari keluarga, sebaliknya diri anda sendiri. Mungkin pada dasarnya anda mencintainya, tetapi agak sukar untuk anda menerima dirinya kerana anda perlu berkongsi dengan anak-anaknya juga.

Tepuk dada, tanyalah selera. Kalau anda bersedia untuk mengharungi semua dugaan dalam memilih hidup, maka teruskanlah niat anda untuk memilih duda sebagai calon hidup anda.

2 – Belajar menyayangi anaknya

Berkahwin dengan duda mungkin menjadikan ada ibu ‘segera’ dan memberikan anda gelaran ibu tiri. Namun jangan sesekali bersikap seperti ibu tiri dalam drama Bawang Putih Bawang Goreng Merah. Biarpun bukan dari darah daging sendiri, tetapi anda juga perlu belajar menyayangi atau setidak-tidaknya belajar menyenangi anak-anaknya.

Anak yang diasuh anda berdua telah kematian atau perceraian dengan isteri terdahulu bukan mudah untuk menerima anda sebagai pengganti ibunya. Seeloknya, hadirlah dalam kehidupan anak-anaknya sebagai teman atau rakan karib. Cuba bersikap santai dengan mereka sehingga anda dapat diterima dalam hidup mereka. Jelaskan kepada si anak, anda memang bukan ibunya dan tidak mungkin dapat menggantikan tempat ibunya, tetapi berikan keyakinan bahawa anda akan menyayanginya sebagaimana ibunya menyayanginya.

Begitu juga apabila anda sudah mempunyai anak sendiri bersama ayah mereka. Jangan sesekali membezakan layanan anak anda dengan anak tiri. Bahagikan kasih sayang anda sama rata, agar anak menghormati dan menyayangi anda.

3 – Jangan putuskan ikatan

Sebenarnya ada dua situasi duda yang mungkin salah satunya sudahpun menjadi sebab (bakal) pasangan anda bergelar duda. Pertama, duda bercerai mati dan kedua, duda bercerai hidup. Perkahwinan anda dengan dua situasi duda ini akan menimbulkan konflik yang berbeza.

Sekiranya pasangan yang anda pilih adalah duda yang ditinggalkan isteri disebabkan kematian, maka bolehlah dikatakan dia tidak gagal dalam perkahwinan. Ia juga selalunya tidak membawa trauma tertentu dalam perkahwinan anda dengannya. Hanya kenangan yang ditinggalkan oleh isterinya yang mampu membayangi hubungan anda dan suami. Sebagai contoh, suami mungkin akan membanding-bandingkan anda dengan arwah isterinya.

Memang dapat difahami sekiranya seorang duda bercerai mati masih memiliki ikatan emosi dengan arwah isterinya. Bayangkan bagaimana perasaan anda jika ditinggalkan oleh orang yang dicintai secara tiba-tiba. Sudah pasti sedih, bukan? Beginilah dengan keadaan duda yang bercerai mati.

Sebagai isteri yang terlebih dahulu sudah maklum dengan status suami ini, anda sebaiknya tidak memaksa dirinya secara serta-merta memutuskan ikatan dan kenangannya bersama arwah isterinya. Ini bukan satu tindakan yang bijak. Anda seharusnya berkongsi diri suami dengan arwah isterinya. Tetapi sekiranya kenangan dan bayangan suami terhadap isteri yang telah meninggal berlangsung terlalu mendalam dan lama, sebaiknya ada lakukanlah sesuatu. Ajak pasangan anda untuk berfikir secara realistik ke hadapan. Jangan terlalu terbawa dengan kenangan masa lalu. Ajak dirinya merancang masa depan rumahtangga anda bersama dengan dirinya.

Tetapi sebenarnya anda juga boleh memilih untuk berterus-terang. Katakan bahawa anda tidak selesa bila dibandingkan dengan bekas isterinya yang telah tiada. Jangan dipendamkan perkara sebegini, kerana pasangan anda menganggap perkara ini tidak memberi masalah kepada anda.

4 – Curiga dengan bekas isteri

Berbeza dengan duda bercerai mati, lelaki yang bercerai hidup dengan bekas isteri selalunya tidak mempunyai ikatan emosional yang terlalu mendalam dengan wanita tersebut. Anda mungkin boleh merasa lega kerana tidak punyai saingan ini.

Tetapi sudut kurang menariknya adalah, anda cenderung untuk berasa curiga tentang hubungan suami dengan bekas isterinya. Masalah juga sering kali timbul kerana anda secara sengaja atau tidak, ‘dipaksa’ terlibat dengan masalah perkahwinannya yang terdahulu. Misalnya suami anda sibuk dengan bekas isterinya gara-gara masalah menyekolahkan anak dari perkahwinan mereka.

Masalah dalam perkahwinan dengan duda yang bercerai hidup ini juga akan jadi lebih berat jika bekas isterinya kerap membayangi hubungan anda. Ia sudah semestinya amat mengganggu, tapi jangan terus marah-marah. Sebaiknya bincangkan dengan suami cara menghadapi gangguan dari bekas iserinya. Bukan dalam bentuk pergaduhan, tetapi minta nasihat daripadanya tentang apa yang sebaiknya anda lakukan.

Selain itu, pembahagian kewangan antara suami anda dan bekas isternya juga tidak dinafikan akan menjadi masalah besar jika tidak ditangani dengan bijak. Selagi anak-anak dari bekas isterinya (jika diperlihara oleh bekas isterinya) belum boleh berdikari atau berumahtangga (bagi anak perempuan), maka suami anda wajib menyara mereka. Tidak jadi masalah jika suami bergaji besar, tetapi jika sekadar cukup makan, bagaimana suami hendak menyara anda pula? Keadaan sebegini pasti mengundang masalah dalam rumahtangga anda berdua di kemudian hari. Sebagai isteri, anda harus memikirkan dan cuba memahai situasi yang bakal anda tempuhi kerana anda juga terbabit sama dalam permasalahan ini.

Kelebihan berkahwin dengan duda :

1. Lelaki ini sudah memahami selok-belok rumahtangga. Mereka akan lebih memahami masalah yang bakal ditempuhi dalam hubungan suami isteri dan punya pengalaman tentang bagaimana mahu mengatasinya.

2. Kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan dalam perkahwinan sebelumnya, sudah pasti akan menjadi rujukan berguna buat dirinya. Ðia pasti tidak mahu mengulanginya dalam rumahtangga yang baru dibina.

3. Kebiasaannya keadaan kewangan lelaki bergelar duda sudah pun cukup mantap. Inilah yang membuatkan ada wanita yang tidak kisah jika jodoh mereka bersama duda.

Kekurangan berkahwin dengan duda :

Laman-Seri tidak mempunyai pengalaman tentang hal ini, walau bagaimanapun, apa yang terlintas di fikiran ialah : Kalau berkawan dengan duda, kita patut ikhtiar mencari sedikit info (mungkin bertanya kepada ahli keluarga atau bekas isterinya), mengapa mereka bercerai. Bukanlah tujuannya untuk mencari aib orang, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga. Jika dia niat baik, dia akan ceritakan tentang keburukan dia juga dan bukan hanya keburukan bekas suaminya sahaja. Agak sukar bagi seseorang itu menceritakan tentang keburukannya secara terang-terangan, jatuhlah saham, beb! Amatlah sukar untuk kita 'scan' keikhlasan manusia, betul tak?

Kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan dalam perkahwinan sebelumnya, tidak mustahil akan diulanginya dalam perkahwinan yang baru, contohnya jika dia seorang yang panas baran dan berpisah dengan bekas isteri akibat perangainya yang hodoh ini, ada kemungkinan dia akan mengulanginya, sekiranya dia tidak mengambil langkah untuk mengawal sikap buruknya.

~ Sila kongsikan point anda, jika ada ~





No comments:

Followers

Related Posts with Thumbnails