Dianggarkan kira-kira 80% ibu mengalami masalah sebegini dan 10% daripadanya terjadi pada tahun-tahun pertama selepas ibu melahirkan bayi mereka. Sehubungan itu, terdapat doktor yang boleh mengesan masalah ini sejak daripada ibu hamil lagi. Namun yang demikian, jumlahnya terlalu kecil. Doktor-doktor tersebut biasanya merupakan doktor yang biasa dikunjungi oleh ibu bagi setiap kehamilannya.
Dengan itu, doktor berkenaan mudah bertindak balas dari awal lagi untuk menghalang masalah kemurungan daripada terus berlanjutan. Dalam pada itu, sekiranya anda mempunyai simptom-simptom seperti insomnia, tidak boleh menumpukan tumpuan sewaktu melakukan sebarang jenis kerja, mudah tersentuh sehingga mengalirkan air mata, tidak berselera makan, bimbang tanpa ada sebab dan yang seumpama dengannya, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar ginekologi dan obstetrik anda secepat mungkin. Ini kerana simptom-simptom itu adalah antara petanda anda mengalami masalah post partum. Sebelum terlambat, lebih baik anda mencegahnya terlebih dahulu.
Terdapat beberapa teknik lain yang boleh anda praktikkan untuk mengatasi masalah ini. Caranya mudah sahaja. Anda perlulah bersikap realistik dan jangan sesekali mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan anda sendiri.
Berikut adalah cara-cara yang boleh membantu anda menghalang kemurungan selepas bersalin.
1. Sesuaikan diri
Sememangnya memikul tanggungjawap sebagai seorang ibu adalah berat, lebih-lebih lagi bagi yang pertama kali melahirkan bayi. Anda perlu peruntukkan masa 24 jam untuk melayan karenah bayi yang memerlukan perhatian sepenuhnya daripada anda. Namun, anda masih perlu memenuhi tuntutan ini walaupun kadangkala mengadu kepenatan. Untuk itu, anda perlulah bersikap positif dan menyesuaikan diri dengan peranan baru. Lihatlah tanggungjawap anda itu sebagai satu lagi tugas baru yang menyeronokkan dalam kehidupan anda.
2. Rehatkan diri
Luangkan sedikit masa sekurang-kurangnya 10 minit dengan berehat sebentar seperti melakukan meditasi ataupun mandi. Paling tidak pun, tarik nafas panjang untuk meleraikan keletihan. Dengan yang demikian, anda dapat mengelakkan diri daripada bermurung. Hasilnya, anda akan lebih tenang dan dapat menjalinkan hubungan dengan bayi dengan lebih rapat.
3. Tidur
Ini merupakan terapi yang paling hebat! Bayi biasanya mengambil masa yang panjang untuk tidur di siang hari. Jadi, salah satu cara untuk anda mengatasi kemurungan ialah dengan mencari masa untuk melelapkan mata sewaktu bayi tidur. Jadi, anda dapat berehat sebentar. Gunakan masa tersebut untuk menggantikan semula tidur anda yang sering terganggu di malam hari. Usahlah anda menyibukkan diri untuk melakukan kerja-kerja rumah. Kerja-kerja tersebut boleh dilakukan pada lain masa. Yang penting, anda mendapatkan tidur yang mencukupi untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
4. Bersenam
Ibu yang rajin bersenam sebelum dan selepas bersalin cenderung untuk memiliki emosi yang lebih setabil. Namun, sekiranya anda terdiri daripada golongan yang malas bersenam, masih belum terlambat untuk mengubahnya. Tidak perlulah anda melakukan senaman yang berat. Cukup sekadar senaman ringan sahaja. Lakukannya secara santai dan bersahaja. Matlamat anda sekarang bukan untuk menguruskan badan tetapi untuk membantu diri berasa lebih tenang bagi menghindari masalah kemurungan.
5. Usah risau
Bagi yang bekerja sepenuh masa, anda tentu mempunyai perancangan kerja yang tersendiri. Anda mungkin perlu menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi mempastikan perjalanan kerja berjalan lancar. Ada juga sesetengah ibu yang mempunyai sikap cerewet dalam melaksanakan sesuatu kerja. Setelah bergelar ibu, anda mungkin hanya mampu menghabiskan sebahagian daripada senarai kerja berkenaan sahaja. Jadi, anda risau kerana tidak mampu menyempurnakannya sebaik mungkin. Jangan begitu! Mulai sekarang, belajarlah untuk menjadi seorang yang lebih fleksibel. Beri peluang kepada diri sendiri. Berikan waktu tambahan bagi melakukan sesuatu kerja. Anda juga boleh mengajar minda untuk menyudahkan kerja yang berbaki pada keesokkan harinya pula.
6. Bantuan
Dapatkan bantuan sama ada daripada ahli keluarga mahupun kawan-kawan sewaktu anda perlu melakukan tugas-tugas penting. Sebagai contoh, anda boleh meminta ibu, kakak atau adik untuk menjaga anak sewaktu anda perlu menghadiri tugasan luar kawasan dan sebagainya.
7. Kawan
Mengasingkan diri akan menambahkan lagi kemurungan. Ketahuilah! Bukan anda seorang sahaja yang mengalami masalah sebegini. Ramai lagi ibu lain di luar sana yang menghadapi masalah yang sama. Jadi, adalah lebih baik jika anda mencari kawan-kawan yang turut mengalami masalah yang sama seperti anda. Dengan itu, anda dan mereka dapat berkongsi pengalaman sekali gus dapat membantu anda menjaga bayi dengan lebih baik.
8. Belajar
Masa untuk anda menecap keseronokan bergelar ibu masih lagi panjang. Pada mulanya, anda mungkin agak sukar menyesuaikan diri. Pada ketika inilah perasaan tidak menentu akan muncul. Ingat! Anda dan bayi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri masing-masing. Ambillah masa dan bergembiralah menjadi seorang ibu.
9. Tiada yang sempurna
Lazimnya, golongan yang mengalami masalah kemurungan ialah orang yang mementingkan kesempurnaan. Apabila anda tertekan, ia secara tidak langsung akan mendorong kemurungan. Anggapan bahawa anda bukanlah seorang ibu yang tidak boleh menjalankan tugas dengan baik adalah tidak benar. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang sempurna.
Capaian entry berkaitan :
No comments:
Post a Comment