Monday, December 7, 2009

INFO : Taiping dan Akibat Perjanjian Pangkor 1874

Assalamualaikum semua. Kenapa saya pilih tajuk ini? Kerana timbul satu gerak tertentu yang akan dibawa ke cerita ini akibat selesainya membuat sebuah posting bertajuk The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.
Kalau ikutkan, saya sudah penat sangat. Untuk posting The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... tadi, saya sebenarnya bercadang setakat mahu meletakkan gambar-gambar para pejuang Melayu di Perak dengan cerita berkaitan boleh dibaca sendiri kerana sudah terdapat pada gambar yang diberi. Sebaliknya, saya tidak dapat menahan diri daripada meluahkan rasa dan pandangan akan apa yang terjadi sehingga membawa kepada Perjanjian Pangkor 1874, pembunuhan J.W.W. Birch 1875 serta gerakan besar-besaran melawan orang Melayu sehingga Datuk Maharajalela dan orang-orangnya dihukum bunuh, Sultan Abdullah dan beberapa orang pembesar dibuang ke Pulau Seychelles dan sebagainya tahun 1877. Bayangkan, daripada jam 12 pagi tadi menulis termasuk membuat 2 postings bertajuk Sekitar Kota Ngah Ibrahim (Around the fort of Ngah Ibrahim) dan Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ... Tetapi saya nampaknya masih tidak dapat berhenti bercerita...

Nota:
Adapun perenggan-perenggan di atas ditulis pagi tadi sekitar jam 5 pagi. Hajat hati mahu terus menyambung cerita tetapi ternyata saya kemudian tak larat lagi. Sekarang ini, setelah selesai sebuah posting bertajuk Ambik kau... Terjemahan Hizib Bahr... yang sepatutnya cuma dibuat setelah posting mengenai Taiping ini siap disiarkan, baru saya ada sedikit Qudrat dan Iradat untuk meneruskan cerita ini. Mari...

Cerita ini bersambung daripada posting Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai! ... Perjalanan ke Kedah yang sebenarnya langsung tidak dirancang itu tamat dengan pendakian ke Gunung Jerai. Selepas itu, saya, Bad yang membawa saya ke Kedah dan Pak Chak tuan punya rumah tempat kami menginap di sana pun kembali ke rumah Pak Chak untuk bersiap-siap.

Bad mahu kembali ke Ipoh sementara isteri Pak Chak iaitu Mak Chak mahu menumpang sampai ke sana bersama seorang adiknya yang mahu diambil di sekitar Sungai Petani, juga anak perempuan adiknya. Mereka mahu menaiki bas (baru teringat... Dalam Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai! saya menyebut mereka ingin menaiki keretapi. Silap tu...) dari Ipoh ke Kuala Lumpur kerana seorang anak perempuan Mak Chak baru melahirkan seorang lagi anak di sana...

Di atas adalah sebuah bangunan rumah kedai lama di Taiping. Saya tertarik dengan rimbunan pokok yang tumbuh daripada celahan bumbung...

Sebuah jalan di Taiping... Saya cukup suka melihat latar-belakang Bukit Larut setinggi sekitar 5,000 kaki yang menghiasi pemandangan bandar ini.

Seperti yang disebut di atas tadi, perjalanan ke Kedah itu langsung tak dirancang. Ketika itu saya baru sahaja 2 minggu selesai perjalanan di Johor... Badan masih terasa begitu penat tetapi apabila mendapat tahu Bad akan pergi ke Kedah terutama di Yan, rasa rugi pula tak ikut. Ini kerana saya baru sekali sahaja sampai ke daerah tersebut iaitu setahun lalu. Ceritanya ada di In Yan to find the Aceh connection.. ., juga Yan again... The call of Gunung Jerai... dan The surau of Kampung Setul, Yan...

Walaupun terasa penat, saya pergi juga dengan rancangan untuk terus kembali ke Kuala Lumpur selepas itu. Tetapi masalah kamera yang berlaku di Makam Daeng Parani (lihat Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul... ) sehingga sejumlah gambar yang diambil langsung hilang menyebabkan saya harus singgah kembali ke Kuala Kangsar untuk mengambil sekali lagi gambar terbaru makam moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan.

Saya sudah pasti mahu ke Kuala Kangsar tetapi rasanya, kerosakan kamera yang berlaku memberikan isyarat, saya harus juga singgah lagi di tempat-tempat lain di Perak... Lebih-lebih lagi kerana setelah siap menyajikan ketiga-tiga trilogi siri buku "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku satu (atau BKA I), "Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006, buku dua, "Membela Syiar yang Asal" atau BKA II (terbit Mei 2007) dan BKA III, "Sirih Pulang ke Gagang?" (November 2007), saya belum lagi menziarahi negeri kelahiran ayah iaitu Perak.

Soalnya di manakah hendak dimulakan... Ketika kereta Badrul memasuki kawasan Seberang Perai baru saya dapat jawabannya. Taiping...

Daripada lebuhraya utara-selatan ataupun PLUS, Bad masuk ke Taiping melalui Kamunting lalu meninggalkan saya di stesyen bas. Di sana, saya sempat makan petang sebelum berjalan-jalan di sekitar Taiping, salah satunya untuk mencari tempat yang sesuai untuk dibuat menginap malam itu. Ini kerana saya dapat merasakan, sebab utama saya ke Taiping kali ini adalah untuk pergi ke Kota Ngah Ibrahim di Matang, 8km jalan ke Kuala Sepetang demi menyusuri sejarah lama termasuk beberapa perkara yang sebelum ini tidak saya endahkan, mungkin kerana belum sampai masanya...

Petang itu juga saya singgah sebentar di Masjid lama Melayu di tengah bandar di mana saya sering menumpang tidur apabila mengembara dan singgah di Taiping. Masjid yang didirikan Ngah Ibrahim lebih 120 tahun lalu ini menempatkan makam-makam ramai orang ternama kawasan ini dahulukala termasuk isteri Ngah Ibrahim, Toh Puan Halimah yang merupakan anakanda kepada Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.

Adapun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya sudah jarang sedikit tidur di masjid-masjid apabila mengembara. Mungkin kerana umur yang sudah meningkat menghampiri 40 tahun... Mungkin kerana saya masih belum mendapat istirehat yang benar-benar cukup kerana masih mendambakan home sweet home ataupun rumahtangga/ kampung halaman sejati yang masih belum sampai masanya untuk dikecapi. Yang pasti, saya lebih cepat penat dan sakit demam-demam berbanding dahulu. Dalam keadaan ini, lebih senang menginap di hotel berbanding di masjid-masjid di mana sering terdapat nyamuk banyak yang mengganggu tidur, kemudian perlu bangun pagi seawal sebelum jam 5 lagi lagi akibat tok siak masjid sudah datang untuk bersiap solat Subuh berjemaah.

Di Masjid lama Melayu bandar Taiping itu saya berehat sebentar di satu sisi. Terasa juga mahu menginap di sana tetapi apabila difikirkan semula, saya perlu berehat tanpa apa-apa gangguan dan tekanan untuk mengembalikan tenaga yang hilang demi menyambung pengembaraan esok...


Lalu berjalan-jalanlah saya mencari hotel murah...


Kalau boleh, saya mahu mencari hotel murah di dalam bangunan rumah kedai lama kerana minat dengan senibina lama, tak kiralah Melayu ataupun Cina... Yang pasti, tidak ada hotel sebegitu di Taiping juga di kebanyakan bandar-bandar di Malaysia yang milik Melayu...


Dalam jalan-jalan itu, terlihat bangunan lama yang sangat menarik ini... Ternyata ia sebuah hotel... Apalagi saya pun masuk ke dalam...

Di dalamnya, saya pelik melihat kehadiran perempuan-perempuan yang "lain macam" rupanya... Kemudian turun naik pula anak-anak muda (yang saya nampak bangsa India ramai), ada yang memakai helmet. Ah... Apa ini? Rupa-rupanya hotel "ayam"...


Saya terasa agak kecewa kerana hotel ini memang cantik pada pandangan saya. Kalau tidak disebabkan "perdagangan ayam" di dalamnya, sudah tentu saya akan menginap di sini... Di kala sebegini, saya tidak melihat samada yang dipaparkan itu senibina China ataupun mana-mana bangsa etnik... Yang saya lihat adalah seni hasil nukilan Allah SWT yang juga memiliki nama Al-Lathif... Yang Maha Seni.

Ingat... Saya tidak melihat Melayu dalam kerangka sempit etnik satu kaum yang kononnya datang daripada Yunnan lalu menolak penduduk "asal" Proto-Malay masuk ke pendalaman menjadi orang-orang Asli... Tak kira apa yang cuba "diperjuangkan" sesetengah orang, saya tetap percaya, Melayu adalah gabungan bangsa-bangsa bersatu yang diikat oleh Islam, budaya dan bahasa Melayu seperti yang disebut dalam perlembagaan Melayu.

Maka seni yang kelihatan boleh sahaja menjadi seni Melayu... Jika sahaja orang yang membuatnya, baik Cina, India mahupun Eropah memeluk agama Islam yang syumul lalu sedia mengamalkan budaya Melayu dan bertutur dalam bahasa itu... Bukan Melayu yang sempit tetapi Melayu yang lebih luas maknanya - mereka yang melarikan diri... Melarikan diri daripada segala kekalutan di tempat asal lalu bertembung di bumi sebelah sini di mana terdapat banyak pohon-pohon rendang dengan sungai-sungai mengalir di dalamnya seperti gambaran syurga yang diberikan di dalam Al-Quran...

Melayu... Gabungan bangsa-bangsa bersatu yang bukan sahaja Islam tetapi Mukmin lagi Ihsan berjiwa halus Tasawuf. Sebab itu orang-orang lama yang saya temui sering mengingatkan, kalau ikut ukuran sebenar, rasanya dah takda lagi orang zaman sekarang yang layak dipanggil Melayu!

Sebab itu kita pernah mendengar perkataan "masuk Melayu". Cina boleh "masuk Melayu", India juga boleh. Syaratnya tersurat dan tersirat dalam perlembagaan negara yang masih ada... Islam, mengamalkan budaya Melayu juga bertutur dalam bahasa Melayu...

Apa itu budaya dan bahasa Melayu? Kajilah betul-betul. .. Mereka yang tidak faham menuduh Melayu itu bangsa "cedok" kerana perkataan "asli"nya sedikit, lain semuanya dipinjam daripada bahasa dan bangsa lain, begitu juga budayanya yang ada unsur-unsur Parsi dan Hindi. Mengapa jadi begini? Sebabnya Melayu itu memang bangsa campuran! Maka budaya dan bahasanya juga adalah hasil gabungan interaksi bangsa-bangsa bersatu seluruh dunia!


Sebuah lagi hotel bangunan lama yang sangat menarik perhatian. Sayang, ia juga ternyata sebuah hotel "ayam"... What a waste of fine art and architecture...

Berbalik pada soal Melayu sebagai gabungan bangsa-bangsa bersatu. Fahamilah ini betul-betul, maka anda faham kenapa kita boleh ada Raja-raja Melayu yang berasal daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain.. . Sedangkan Iskandar Zulkarnain dikatakan berasal daripada Greece di Eropah (menurut satu pendapat yang menyatakannya sebagai Alexander the Great daripada Macedonia), lagi satu pendapat pula adalah daripada keturunan Cyrus the Great daripada Parsi. Yang pasti, daripada luar nun jauh di belah Barat atau Timur Tengah...

Lalu mereka yang tidak memahami akan hakikat sebenar bangsa Melayu sebagai bangsa-bangsa bersatu lebih senang menuduh Melayu sebagai bangsa hamba... Sebab itu bertuankan raja-raja yang datang daripada luar sedangkan hakikatnya, raja-raja daripada luar ini juga "masuk Melayu"!... Bahasa lembut orang Melayu yang sering membahasakan diri sendiri sebagai "hamba" dan orang lain "tuan hamba" turut disertakan kononnya sebagai bukti orang-orang Melayu itu berjiwa hamba...

Ya... Memang Melayu itu berjiwa hamba! Tetapi bukan hamba kepada manusia atau apa-apa sistem manusia seperti demokrasi dan kapitalis. Melayu dalam ertikata sebenar adalah hamba kepada Yang Maha Esa!

Adapun bahasa pertuturan "hamba" dan "tuan hamba" ini adalah sebenarnya bahasa tinggi, bahasa orang-orang Tasawuf yang sebenarnya mengEsakan keWujudan Allah jua... Ini adalah bahasa orang-orang yang "berenang" di dalam lautan musyahadah ataupun penyaksian semata melihat hakikat alam yang sebenar... Bahawa apa yang kita lihat sekeliling bermacam warna dan ragam ini semuanya adalah perbuatan ataupun af'al Allah jua! Maka dengan penuh adab merendah diri, kita membahasakan diri sendiri sebagai "hamba" dan orang lain sebagai "tuan hamba"... Kerana melihat hakikat sebenar di sebalik perbuatan orang lain sebagai pengzahiran serta pernyataan perbuatan Allah di alam ini jua!

Mungkin ada yang akan bertanya... Kalau begitu kenapa pula raja-raja membahasakan diri sebagai "beta", bukannya "hamba"? Sebenarnya raja-raja pun ada masanya membahasakan diri sebagai "hamba"... Kaji balik hikayat-hikayat lama... Tetapi apabila berbahasa dengan rakyat-jelata, raja-raja itu ibarat akan zahir sifat-sifat Jalal atau keagungan Allah... Kerana seorang raja (raja yang sebenar ya, bertaraf Wali dan telah Fana' dan Baqa' di dalam keWujudan Allah, bukan raja-raja sekarang yang rata-rata tidak layak menaiki takhta kerana telah hilang sifat-sifat sebenar seorang raja) itu adalah Zilullah Fil Alam... Bayang-bayang Allah di alam ini... Atau Zilullah Fil Ardh. Bayangan Allah di mukabumi. Sebab itu ada kitab-kitab lama tafsir mimpi menyebut, bermimpi berjumpa dengan raja itu maknanya berjumpa dengan Allah jua!

Masalahnya berapa ramai orang yang sedar akan hakikat ini setelah beratus tahun dihimpit dakyah Barat hasil kajian dan saranan puak Yahudi Zionis yang tidak mahu bangsa Melayu menjadi berdaulat melalui wasilah kerajaan sebenar yang mengundang naungan daripada langit? Sejarah Melayu sendiri telah dikaburkan sebegitu rupa akibat kedangkalan dalam memahami makna Melayu itu sendiri... Para Orientalis cuba menyempitkan bahawa Melayu itu datang daripada Yunnan. Ini dilakukan untuk merendahkan martabat Melayu sebagai satu daripada sub-etnik orang Cina selain untuk menghikis hak ketuanan Melayu ke atas Tanah Melayu kerana orang-orang Melayu mahu digambarkan sebagai pendatang, malah penceroboh yang "menghalau penduduk asal" Proto-Malay ke pendalaman. Ini dibuat supaya bangsa lain yang bukan Islam pun boleh menuntut hak "yang sama rata", kerana kita semuanya adalah "bangsa pendatang" jua...

Ya, itu memang benar... Melayu juga ramai bangsa pendatang... Tetapi yang membuat mereka mempunyai hak ke atas apa yang dinamakan sebagai Tanah Melayu ini adalah setelah menjadi anggota, masuk membership sebagai ahli kesatuan bangsa-bangsa dunia yang diikat oleh Islam, budaya Melayu dan penggunaan Bahasa Melayu... Itulah yang memberikan hak ketuanan kepada mereka, hak yang tidak layak dikecapi mereka yang belum lagi "masuk Melayu"....

Fikirkan akan makna Melayu yang sebenar... Maka kita tidak akan hairan kalau disebut bahawa pusat kerajaan Melayu Melaka di Kota Melaka yang jatuh ke tangan Portugis tahun 1511 itu kalah bukan kerana Melayu itu mundur... Tidak... Melayu sudah lama mempunyai persenjataan canggih. Zaman itu, kita sudah lama berhubung dengan tamadun-tamadun besar dunia termasuk kerajaan keKhalifahan Uthmaniyah (yang merupakan kerajaan paling kuat seluruh dunia zaman itu) serta kerajaan China Dinasti Ming (yang sebenarnya merupakan kerajaan Islam, sebab itu ia menyokong Melaka... Bukan sebab kerana ancaman Siam semata seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah).

Ketika itu, Eropah baru sahaja keluar daripada zaman kegelapan... Setelah lama dipekup pihak Gereja yang anti-Sains. Dan mereka berjaya mengecapi kemajuan yang kemudian dikenali sebagai Renassaince, zaman kebangkitan Eropah setelah mengutip ilmu daripada institusi-institusi Islam yang jauh lebih maju ketika itu seperti yang terdapat di kerajaan Sepanyol dan Portugal Islam terutama di Cordova ataupun Andalusia... Kita bangsa Melayu pula sudah lama menerima bekalan teknologi terbaru baik daripada kerajaan Uthmaniyah yang berpusat di Turki mahupun Dinasti Ming yang tidak kurang canggih. Siapa kata Melayu itu mundur dan bodoh, setakat berharap pada senjata-senjata purba yang ketinggalan zaman? Siapa kata? (teringat pulak iklan Celcom kat TV. Siapa kata... Heh! :])

Lagipun seperti yang sudah disebut awal tadi, Melayu itu adalah BANGSA-BANGSA BERSATU. Maka itu segala teknologi dan pengetahuan canggih bangsa-bangsa lain turut disatukan menjadi teknologi sebenar Melayu... Itulah rahsia sebenar Melayu yang satu hari nanti akan membawa kepada kebangkitan sebenar Islam di akhir zaman, Insyaallah!

Sebab itu catatan Portugis, kalau tidak salah daripada Alfonso Albuquerque sendiri meyebut mereka telah merampas dan membawa balik 3,000 pucuk meriam daripada Kota Melaka. Dan itu menurutnya baru separuh sahaja... Jadi kenapa Melaka boleh kalah? Kalau nak tahu, sebab sebenarnya adalah kerana pembelotan bangsa Melayu sendiri... Pembelotan yang bagaimana?

Adapun bangsa-bangsa Barat yang datang ke Tanah Melayu untuk menjajah ini sebenarnya berbuat begitu atas dendam dan perancangan jangka-panjang Perang Salib... Semuanya untuk memutuskan rangkaian ukhuwah Islam yang turut termasuk di dalamnya rangkaian sokongan strategi perang yang meluas ke seluruh bumi di mana sahaja ada penganut Islam dengan angkatan yang boleh didatangkan daripada jauh termasuk daripada Tanah Melayu ini! Percaya atau tidak, semasa Perang Salib 1,000 tahun lalu sudah ada orang-orang Melayu turut berjihad melawan angkatan Barat... Manakan tidak? Melayu sebenar adalah bangsa yang sangat gagah berani, sedia berkorban jiwa dan raga kerana memahami hakikat sebenar kehidupan yang fana' ini... Dan sejak dahulu mereka adalah para pelayar dan pengembara yang hebat, tentu biasa sampai ke Mekah untuk umrah dan haji atau ziarah juga ke Madinah. Lalu apabila terdengar panggilan jihad, apalah susah sangat untuk turut mara ke Baitul Muqaddis termasuk bersama angkatan Sultan Salahuddin Al-Ayubi! Bukankan Melayu itu adalah bangsa-bangsa bersatu yang sudah semestinya ISLAM?

Barat sedar akan makna sebenar Melayu yang menggabungkan pelabagai bangsa ini... Maka itu untuk memecah-belahkan serta membawa Melayu untuk membelot, mereka kaji balik sifat-sifat etnik... Bagaimana sifat Cina masuk Melayu semasanya Cina nya masih menebal... Bagaimana sifat India sebelum masuk Melayu... Maka dicari kelemahan ini lalu dicucuk-jarumnya sehingga menjadi punca pergaduhan. Lalu apa yang terjadi sebenarnya adalah pergaduhan Cina dengan India tetapi yang dapat nama buruk adalah Melayu kerana mereka sudah masuk Melayu... Sebab itu bangsa Melayu terkenal dengan hasad dengki terhadap bangsa sendiri. Faham sekarang?

Taktik serupa turut digunakan untuk mengekang apa-apa kemungkinan kebangkitan Melayu di Singapura... . Lalu mereka cuba dipecah-pecahkan dengan label Bugis, Boyan dan sebagainya, bukan dengan label Melayu sebenar yang patut menyatukan segalanya... Tetapi apabila bergaduh dan tidak bersatu, yang disabitkan tetap nama Melayu juga. Nampak tak?

Allah... Mungkin ini juga agaknya kenapa malam tadi, buat pertama-kalinya dalam mana-mana blogspot saya, saya tergerak untuk memaparkan gambar-gambar senjata Melayu lama seperti keris dan pedang. Tajuknya ialah Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) ... Kebetulan pula ia adalah posting saya yang ke 99 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Apakah ini semua ada kena-mengena?


OK... Malah tadi saya telah membuat sebuah posting tentang Kota Ngah Ibrahim di Matang, Taiping, Perak. Adapun itu adalah kali ke 3 saya ke sana tapi baru kali itulah saya betul-betul melihat apa yang terdapat di dalamnya...

Hmm... Kebetulan juga pendakian Gunung Jerai yang dibuat seperti yang diceritakan dalam Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai! adalah yang kali ke 3. Dan baru kali itu juga saya rasa betul-betul puas kerana sempat melawat tempat-tempat yang sebelum ini saya tidak temui kerana tidak tahu arah... Hmm...

Apapun, pada hari itu juga, selepas turun Gunung Jerai, saya bermalam di sebuah hotel murah di Taiping... Tetapi bukan bangunan lama ya... Apa boleh buat, tak dapat hotel murah bangunan lama yang menarik. Lainlah kalau hendak tidur dengan "ayam"... Teruk kena "patuk" kat Neraka besok. Sisih malaikat 44... Keesokan paginya baru saya bergegas menaiki bas untuk ke Matang...


Ternyata terdapat satu lagi pembaharuan di sana... Makam Ngah Ibrahim sudah siap dibina semula dengan batu-batu asal yang dibawa daripada Singapura ketika pemindahan jenazah... Pemindahan yang turut diadakan selari dengan pengembalian jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September (9.9) 2006.

Ceritanya sudah lama saya nukilkan di Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... . Untuk melihat posting terbaru tentang Kota Ngah Ibrahim yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) malam tadi, sila klik Sekitar Kota Ngah Ibrahim (Around the fort of Ngah Ibrahim) ...


Dalam lawatan kali ini juga, barulah saya tergerak untuk melihat senjata-senjata Melayu lama yang dipaparkan. Lihat ceritanya di Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim)... Kebetulan, ia bukan sahaja kali pertama saya tergerak untuk memaparkan gambar-gambar senjata Melayu lama di mana-mana blogspot saya malah ia juga adalah posting ke 99 bagi blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Menurut kata seorang pembaca (juga pembaca lain nampaknya), itu maknanya saya akan bertemu jodoh tidak lama lagi. Hmm...

Yang pasti, saya rasa semakin sukar bertahan membuat kerja-kerja pelik yang saya buat sekarang ini iaitu mengembara ke sana ke mari menurut gerak hati cuba menggali semula makna Melayu yang sebenar untuk diwar-warkan kepada orang ramai... Bayangkan membuat semua ini tanpa gaji dalam keadaan dunia materialistik yang memerlukan banyak belanja... Bayangkan membuat segala kerja penat ini yang banyak memakan tenaga dan kewarasan jiwa tanpa sokongan lembut seorang insan (atau 2-3? Jangan mare ye... Hehe! :]) bernama isteri yang dapat memberikan sokongan yang sepatutnya dengan rumahtangga yang betul-betul memberikan istirehat daripada segala masalah...

Ya, Saya memang memerlukan jodoh. Sampai satu masa, mustahil saya dapat meneruskan perjuangan ini seorang diri. Maka jika Allah SWT telah menetapkan jalan hidup saya sebegitu rupa, jika masih banyak lagi yang perlu diperjuangkan, maka mesti Allah juga telah menyediakan sokongan yang sepatutnya. Soalnya bila... Tapi ada yang dah menyebut tahun 2008 ini juga mesti diselesaikan hal ini. Hmm...



Dalam lawatan kali ini juga baru saya tahu di ruangan atas Kota Ngah Ibrahim yang telah dijadikan muzium itu terdapat lakaran rupa-paras para pahlawan Melayu yang pernah melawan British abad ke 19 Masihi... Antara nama-nama terkenal yang turut dilakarkan adalah Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut...

Adapun saya percaya, apa yang berlaku zaman itu adalah hasil perancangan licik penjajah Barat yang membawa rancangan besar Yahudi Zionis untuk menguasai Baitul Muqaddis seterusnya dunia. Antara mangsa-mangsa yang WAJIB dicantas adalah bangsa Melayu yang kuat menjunjung Islam, lagi Mukmin dan bersifat Ihsan... Melayu yang satu masa dahulu cukup faham akan makna Mim di dalam perkataan Melayu... Mim yang membawa makna Muhammad lalu sentiasa diutamakan sebagai kepala kepada seluruh Melayu...

Tahun 1824 menyaksikan Belanda dan Inggeris memecah-belahkan bumi Melayu kepada 2 bahagian yang perlu ditangani masing-masing. .. Inggeris sebelum itu telah mendapat pengkalan utama di Pulau Pinang tahun 1786, setelah "dibuka" oleh Francis Light, sebenarnya hasil pencerobohan penuh strategi tipu-muslihat diplomatik ya, bukan atas dasar persahabatan yang sebenar. Mereka pun mula menujukan jarumnya ke Perak, satu bumi yang keSultanannya mewarisi darah Raja-raja Melaka yang turut mengandungi darah kerajaan lama Singapura, Samudera-Pasai dan Perlak... Darah-darah istimewa yang menggabungkan genetik kebesaran Raja Iskandar Zulkarnain dengan darah penuh barakah para Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW.

Ruang di Perak terbuka luas dengan penemuan bijih timah secara besar-besaran di Larut. Kemasukan para pelombong Cina yang dibawa ke sini melalui Pulau Pinang dengan kerjasama tokeh-tokeh Cina yang dilindungi penjajah British mula mengubah keadaan sosio-politik setempat.

Dahulu, bukan tidak pernah datang orang-orang Cina atau bangsa-bangsa lain ke Tanah Melayu... Bukankah Melayu itu "lubuk" bangsa-bangsa bersatu? Tetapi jika dahulu, bangsa-bangsa luar senang berinteraksi dengan bangsa Melayu lalu sesiapa yang memilih untuk menetap di sini pun "masuk Melayu", keadaan mula berubah dengan hasil perancangan British.

Dahulu, bangsa luar yang datang lebih senang "masuk Melayu" lebih-lebih lagi setelah memahami hakikat sebenarnya.. . Bahawa Islam bukan setakat bermula 1,400 tahun lalu tetapi ia adalah agama asal fitrah manusia yang bermula sejak Nabi Adam, cuma diupgrade dari masa ke semasa dengan Syariat-syariat baru untuk memperbetulkan mana-mana landasan yang lari.

Proses pembaharuan ini terus berlaku sehingga Islam itu betul-betul lengkap untuk manusia seluruh dunia menuju akhir zaman dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para Rasul dan Nabi. Tetapi sejak British memulakan campurtangan, bangsa pendatang diasingkan dan pada masa yang sama, dakyah anti Islam ditekankan di seluruh dunia! Kenapa? Supaya para pendatang ini tidak akan "masuk Melayu"... Tidak ada lagi new membership untuk menjadi ahli kesatuan besar yang dikenali sebagai Melayu ini! Kerana mereka tahu akan hakikat sebenar asal-usul Melayu sebagai bangsa-bangsa bersatu sedangkan untuk menguasai bumi ini (kerana British juga adalah proksi Yahudi Zionis sebenarnya), mereka perlu melaksanakan dasar pecah-dan perintah.

Hmm... Kalau nak cerita secara teliti, memanglah panjang. Biar dipendekkan bahawa daerah Larut (ya, yang mengandungi Taiping) ini menjadi tempat utama British memasukkan jarum penjajahan di Semenanjung. .. Mereka lebih licik daripada Portugis dan Belanda dahulu dengan menggunakan taktik yang bakal memadamkan makna sebenar Melayu itu sendiri!

Dalam keadaan itulah, mereka berjaya menerbitkan kekacauan-kekacauan di Perak yang dikenali sebagai Perang Larut, kononnya kerana pelombong Cina yang berlainan etnik seringkali bergaduh... Ya, memang golongan-golongan etnik ini ada sedikit masalah suka berpuak-puak sejak daripada Tanah Besar Cina lagi tetapi agaknya siapakah yang mengapi-apikan mereka sehingga sering terjadi pergaduhan besar? Ingat lagi akan cerita penglibatan gangster-gangster Ghee Hin dan Hai San di Perak seperti dipelajari di sekolah dahulu? Apakah mereka bertindak sendirian ataupun sudah ada rancangan jangka panjang?

Pada masa yang sama, timbul pula masalah pertikaian takhta di Perak. Kalau dikaji dengan lebih teliti, permulaannya juga berkait dengan Larut apabila Raja Muda Jaafar yang nampaknya tidak sabar bertindak merampas kuasa daripada Sultan Abdullah I (bukan yang dibuang ke Pulau Seychelles ya), Sultan Perak ke 22 yang bersemayam di Teluk Intan. Lalu walaupun Raja Muda (kemudiannya naik menjadi Sultan ke 23 setelah kemangkatan Sultan Abdullah 1857) belum ditabalkan menjadi Sultan, baginda boleh memberi surat kuasa kepada Long Jaafar untuk mentadbir Larut. Untuk pengetahuan, Long Jaafar kemudian digantikan oleh Ngah Ibrahim...

Masalah pertikaian takhta menjadi nyata apabila pengganti Sultan Jaafar iaitu Sultan Ali Al-Mukamal mangkat tahun 1871. Ketika itu, Raja Muda ialah Sultan Abdullah II, anakanda Sultan Jaafar sedangkan menurut giliran sebelum Sultan Jaafar merampas kuasa daripada Sultan Abdullah I, sudah sampai masanya untuk Raja Yusuf anakanda Sultan Abdullah I memerintah Perak. Sebaliknya Raja Ismail yang sebenarnya adalah putera Raja Siak yang beribukan kerabat diraja Perak pula diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 25, menurut ceritanya dengan sokongan Ngah Ibrahim yang tidak gemar jika Raja Abdullah menaiki takhta.

Apapun, kekalutan yang berlaku akhirnya membawa kepada Perjanjian Pangkor 1874 di mana Raja Abdullah dapat menjadi Sultan ke 26 dengan sokongan British sementara bekas Sultan Ismail diberikan pencen. Tiba-tiba juga kaum-kaum pendatang Cina yang bertelagah dapat didamaikan.. . Yang peliknya, ketua-ketua gangster Cina yang terlibat membuat kacau telah diangkat menjadi ketua-ketua masyarakat! Kenapa agaknya ya!

Sekarang baru saya teringat... Dokumen asal yang saya pernah lihat di Istana Hinggap Bukit Chandan yang kemudian dijadikan muzium menyebutnya sebagai Perjanjian Dinding... Kerana ia dilakukan di Pulau Pangkor yang dahulu dikenali sebagai Pulau Dinding, dan memang daerah sekelilingnya yang meliputi Lumut dan Sitiawan dahulu dikenali sebagai Dinding... Apakah ia diubah menjadi Perjanjian Pangkor sempena nama Chek Peng Kor yang saya lihat terpampang megah di sebuah bangunan di pekan utama Pulau Pangkor?

Lebih menyedihkan adalah bagaimana Perjanjian Pangkor 1874 itu sebenarnya merampas hak ketuanan Melayu. Seorang Residen British MESTI dipakai dan "nasihatnya" MESTI dilaksanakan kecuali dalam hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu... Itulah asal mula konsep raja-raja berpelembagaan di Malaysia di mana kuasa eksekutif dan pentadbiran kini dipegang Parlimen dan Perkhidmatan Awam.

Ternyata Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch adalah seorang yang tidak bertimbangrasa terhadap perasaan orang Melayu sehingga seringkali menjatuhkan air muka Sultan dan para pembesar. Hasilnya buat pertama kali setelah sekian lama, semua pembesar Melayu bersatu untuk menghapuskan ancaman ini lalu terbunuhlah Birch di Pasir Salak 1875. Hasilnya juga, terjadi perang besar-besaran orang Melayu Perak dengan British, perang yang menurut catatan rasmi dimenangi British tahun 1877 kerana memiliki kelengkapan yang lebih canggih... Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah sekali lagi orang Melayu belot terhadap orang Melayu juga!

Di atas adalah model gambaran pendakwaan di mahkamah yang dibuat oleh British terhadap pahlawan-pahlawan Melayu yang dikatakan terlibat dengan pembunuhan Birch. Adapun proses pendakwaan itu memang berlaku di sini, di Kota Ngah Ibrahim ini!

Apa yang terjadi, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut dihukum gantung sehingga mati. Sultan Abdullah II, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Shahbandar Uda Ma'amor dan Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles di Afrika sementara bekas Sultan Ismail dibuang negeri ke Singapura! Gambar-gambar mereka (tak semuanya ya) ada dipaparkan di artikel The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH pagi buta tadi (atau malam semalam, ketika saya menulis ini, sudah lepas jam 9 malam!)...

Ketiadaan mereka menyebabkan orang-orang Melayu Perak hilang kekuatan perjuangan yang terarah. Dalam pada itu, Raja Yusuf anak Sultan Abdullah II yang mula menjadi Raja Muda apabila Sultan Abdullah I menaiki takhta hasil Perjanjian Pangkor 1874 terus memegang jawatan tersebut. Akibatnya, nama Sultan Abdullah yang dalam buangan dapat digunakan sebagai rubber stamp untuk British melaksanakan program demi program "pembangunan" yang akan mengikis ketuanan Melayu sementara Raja Yusuf yang tidak mempunyai kuasa sebenar jadi tukang angguk sahaja! Baginda cuma dapat menjadi Sultan 10 tahun kemudian, itupun setakat dalam tempoh 3 bulan sahaja apabila mangkat tahun 1887.

Dalam tempoh inilah bandar Taiping yang menurut bahasa Cina bermakna "keamanan yang berkekalan" dapat dibentuk... Bandar yang buat pertama kalinya dalam tempoh entah beribu tahun (selain Melaka dan Pulau Pinang yang telah lebih dahulu jatuh ke tangan penjajah) dibina seratus-peratus untuk mengutamakan bangsa lain lalu meminggirkan bangsa Melayu ke kampung-kampung dan pendalaman.. .

Allah! Sedih dan sakit saya mengingatkan ini... Lalu Taiping dijadikan model perbandaran baru (moden menurut mereka. Chis!) yang bakal dicontohi seluruh Tanah Melayu. Bandar-bandar Melayu yang telah wujud lama dahulu di merata tempat dirobohkan dan kesannya cuba dihilangkan. .. Ada yang kembali menjadi hutan belukar, ada yang tenggelam "ditelan" estet-estet yang didirikan British dengan sokongan buruh daripada India... Oh, sejak itu juga banyak lagi orang-orang bangsa Cina dan India juga lain-lain yang bukan beragama Islam dibawa masuk ke Tanah Melayu tetapi terus diasingkan daripada warga asal supaya mereka tidak "masuk Melayu"...

Sebab itu banyak makam-makam lama milik Raja-raja Melayu terletak di dalam hutan dan estet-estet kelapa sawit. Mereka yang tidak tahu hakikat sebenar menyebut, inilah bukti orang-orang Melayu adalah orang-orang hutan yang tidak bertamadun. Yang sebenarnya, makam-makam ini dahulu terletak di dalam KOTA-KOTA MELAYU... Struktur binaan kota-kota Melayu terutama di mana raja-raja bersemayam memerlukan sesebuah kota itu diterajui sebuah istana di tengah-tengah. .. Kemudian berdekatan, baru ada masjid utama di mana di sebelahnya terdapat kawasan pemakaman diraja... Baru di sekeliling ada perkampungan orang-orang besar yang mengandungi rumah para pengikut masing-masing dan di celah-celahnya kawasan pasar tempat masyarakat banyak berjual-beli dan berinteraksi.

British cukup licik mengubah sejarah. Hasilnya, anak bangsa kita sekarang celik mata sahaja sudah melihat kedai-kedai Cina menguasai perdagangan di setiap bandar. Sehingga kita tidak dapat membayangkan lagi bagaimanakah keadaan orang Melayu menguasai perniagaan.. . Malah tak terfikir pun orang Melayu benar-benar mampu berniaga... Apa yang kita tahu tanpa orang Cina, ekonomi negara kita akan lumpuh! Begitu teruk sekali jiwa Melayu ini dijajah sehingga bagi sesetengah orang Melayu sendiri, tidak masuk akal orang Melayu pernah menguasai segala bidang...

Ah, cukuplah... Saya sudah meluahkan rasa dengan cukup panjang lebar kali ini. Ingat, apa yang saya ceritakan bukan hendak melaga-lagakan Cina dengan Melayu! Kan saya dah cakap, Melayu itu bangsa-bangsa bersatu! Apa yang saya mahu, marilah kita kembali kepada hakikat sebenar bangsa kita yang bersatu, lagi Islam, Mukmin dan Ikhsan.

Sudah... Saya sudah tak kuasa lagi menerangkan. .. Menulis cerita ini sahaja sudah memakan begitu banyak masa dan tenaga... Maka Ya Allah ya Tuhanku sekali lagi saksikanlah. .. Hambamu yang lemah lagi bergelumang dosa ini sudah cuba memikul amanah menyampaikan setakat yang boleh. Amin dan wasalam semua! :]

No comments:

Followers

Related Posts with Thumbnails